Thursday 26 April 2012

Pulut Lepa @ Pulut Panggang Terengganu


Pulut lepa atau pulut panggang sangat sinonim dengan masyarakat di Negeri Terengganu. Makanan ini juga merupakan salah satu makanan tradisional Terenggganu sejak turun temurun. Kebiasaannya, makanan ini dihidangkan untuk minum petang bersama minuman teh.

Berbanding di negeri lain- lain di Malaysia, pulut lepa Terengganu mempunyai keunikan rasa ikan yang istimewa yang diperbuat daripada inti pulut yang dibakar dan dipanggang. Pengalaman saya belajar di luar negeri Terengganu, saya mendapati pulut panggang di sana tidak menggunakan inti ikan malah kebanyakan mereka menggunakan inti kelapa yang bercampur lada kering yang telah dilumatkan, dan rasanya amat berbeza dengan pulut panggang di Terengganu.

Lazimnya, pulut lepa ini dibungkus dan disaluti dengan daun pisang serta dicucuk lidi pada bahagian atas dan bawah sebelum dibakar di atas bara api. Untuk menentukan pulut lepa ini betul-betul masak, ianya perlu dimasak sehingga daun pisang kelihatan kekuningan dan sangat sedap dan berselera makan ketika masih panas. Harga pulut lepa pada waktu sekarang ialah RM0.30 sebatang. 

Makanan ini biasa di jual di pasar-pasar seperti pasar Chabang Tiga, pasar Kedai Payang, pasar malam dan juga gerai-gerai di bahu jalan. Permintaan makanan ini sentiasa meningkat apabila tibanya bulan Ramadhan kerana makanan ini sering dijadikan juadah berbuka puasa dan selalu dihidangkan selepas selesai solat sunat tarawih.

Bagi saya inilah makanan santai saya diwaktu petang jika pulang ke kampung halaman. Boleh dikatakan setiap minggu saya akan merasainya walaupun sekali. Rasa pulut yang lembut dan inti ikan yang masih panas telah memukau hati saya untuk merasainya. 



No comments:

Post a Comment