Thursday 26 April 2012

Nasi Dagang



Nasi dagang amat terkenal di Negeri Terengganu dan Kelantan. Ia biasanya dijadikan hidangan istimewa bagi majlis tertentu atau hidangan di pagi hari raya. Nasi dagang diperbuat daripada campuran beras pulut dan beras biasa. Ia dimakan bersama gulai ikan tongkol atau di Negeri Terengganu dan Kelantan, dipanggil ikan aya.

Perbezaan nasi dagang di Negeri Terengganu dengan Kelantan ialah penyediaannya, iaitu nasi dagang Terengganu berwarna putih manakala bagi Kelantan pula berwarna coklat. Nasi dagang ini tidak sempurna tanpa kuah ikan tongkol serta acar timun dan ianya dihidangkan bersama daun pisang bagi menaikkan aroma daun pisang tersebut sebati dengan nasi.

Saya selalu makan nasi dagang ini ketika sarapan. Cuti semester baru-baru ni, kawan-kawan saya yang tinggal diluar Terengganu sanggup datang ke Terengganu demi untuk merasai sendiri nasi dagang yang (original). Selepas saya cadangkan tempat untuk merasai nasi dagang ini, mereka begitu teruja dan memuji tentang keenakan nasi dagang tersebut yang sangat sesuai digabungkan dengan kuah ikan tongkol yang sedikit manis. Bagi saya harganya berpatutan iaitu RM2.50 sebungkus ataupun sepinggan.






Cara-cara Membuat Nasi Dagang: 
Beras dan beras pulut yang telah direndam selama 6 jam ditoskan dan kemudian dikukus selama 1/2 jam. Angkat dan masukkan santan cair serta digaul rata dan dikukus sekali lagi hingga masak. Angkat dan masukkan santan pekat, alba, bawang merah, halia dan garam secukup rasa. Bahan-bahan ini kemudiannya digaul rata. Nasi Dagang Terengganu sudah siap dimasak dan sedia dimakan. 


Cara-cara Membuat Kuah Nasi Dagang Terengganu: 

Kacau santan hingga mendidih. Kemudian masukkan cili giling, bahan-bahan yang dikisar, rempah dan asam keping. Kemudian, masukkan ikan yang telah dikukus serta cili padi. Biarkan ia mendidih dengan api yang perlahan. Kemudian,masukkan garam,perasa Ajinomoto dan manisan secukup rasa.Biarkan kuah itu menjadi agak pekat. Kemudian, kuah sedia dimakan bersama-sama dengan Nasi Dagang Terengganu.

Nasi dagang memerlukan penetilian sepenuhnya terhadap bahan-bahan yang digunakan kerana kesilapan cara untuk memasak nasi dan membuat kuahnya akan menyebabkan nasi dagang cepat basi dan tidak sedap untuk dimakan. Anda perlu mencubanya sendiri rasa sebenar nasi dagang Terengganu kerana rasanya yang unik dan enak dan sesuai dimakan ketika anda datang besantai di negeri Terengganu ini.



No comments:

Post a Comment