Thursday 26 April 2012

Laksa Terengganu




Laksa Terengganu merupakan sejenis makanan berkuah yang telah menjadi makanan yang diminati di Terengganu. Ianya mudah didapati samaada di pasar atau kedai-kedai makan terutamanya sebelah pagi kerana ia adalah salah satu makanan sarapan pagi dan makanan pada malam yang menjadi kegemaran kebanyakan masyarakat di Negeri Terengganu ini.

Setiap kali pulang ke Terengganu, saya tidak akan melepaskan peluang untuk menikmati laksa Terengganu ini yang memang menjadi idaman kebanyakan anak Terengganu yang merantau di negeri orang. Keenakan rasa kuahnya yang manis dan berlemak membuatkan saya sentiasa tidak puas untuk menikmatinya. Laksa Terengganu yang dijual dipasar-pasar malam selalunya kurang memuaskan bagi saya kerana kebanyakan orang yang menguasahakannya terlalu mementingkan keuntungan tanpa menghiraukan kualiti laksa tersebut. Kebanyakan daripada peniaga laksa Terengganu ini menjual laksa dengan harga RM2.50 pada masa sekarang. Berbeza dengan beberapa tahun yang lepas, Laksa ini hanya dijual pada harga RM1.50 sebungkus. 

Keistimewaan laksa Terengganu ini terletak pada kuahnya yang banyak menggunakan isi ikan dan dimakan bersama ulam-ulaman serta sambal yang biasanya mengandungi belacan. Laksa Terengganu biasanya dihidangkan bersama dua jenis kuah, iaitu kuah masak dan kuah mentah.

Laksa Terengganu dihidangkan dalam beberapa gabungan dengan menggunakan laksa tepong (gandum) atau laksa beras contohnya laksa tepong dan kuah masak, laksa tepong dan kuah mentah, masak, laksa beras dan kuah masak, atau laksa beras dan kuah mentah.

Cara Membuat Kuah Mentah:
Pertamanya perlu tumbukkan lada hitam, bawang merah bersama isi ikan. Kemudian, jerangkan santan serta masukkan bahan yang ditumbuk tadi bersama dua keping asam gelugur, kacau sehingga mendidih supaya kuahnya tidak tergentel. Selepas itu, kamu masukkan garam dan sesuaikan rasanya barulah diangkat, dan semua bahan yang dipotong halus tadi di masukkan ke dalam satu bekas yang berasingan dan juga sertakan sekali belacan , garam dan cili giling. Ketika mahu makan barulah tuangkan kuahnya.

Cara Membuat Kuah Masak:
Ikan direbus dan kisar isi ikan (buang tulang). (macam buat kuah laksa yang lain jugak). Panaskan minyak terlebih dahulu, kemudian tumiskan bahan yang dikisar sehingga naik bau dan pecah minyak. Kemudian masukkan santan, gula melaka, kerisik, asam keping, isi ikan, gula dan garam, masak sehingga kuah pecah minyak serta naik bau. Jika perlu boleh ditambah sedikit air. Setelah siap hidangkan laksa dengan letakkan kuah, ulaman pilihan serta sambal belacan.







Pulut Lepa @ Pulut Panggang Terengganu


Pulut lepa atau pulut panggang sangat sinonim dengan masyarakat di Negeri Terengganu. Makanan ini juga merupakan salah satu makanan tradisional Terenggganu sejak turun temurun. Kebiasaannya, makanan ini dihidangkan untuk minum petang bersama minuman teh.

Berbanding di negeri lain- lain di Malaysia, pulut lepa Terengganu mempunyai keunikan rasa ikan yang istimewa yang diperbuat daripada inti pulut yang dibakar dan dipanggang. Pengalaman saya belajar di luar negeri Terengganu, saya mendapati pulut panggang di sana tidak menggunakan inti ikan malah kebanyakan mereka menggunakan inti kelapa yang bercampur lada kering yang telah dilumatkan, dan rasanya amat berbeza dengan pulut panggang di Terengganu.

Lazimnya, pulut lepa ini dibungkus dan disaluti dengan daun pisang serta dicucuk lidi pada bahagian atas dan bawah sebelum dibakar di atas bara api. Untuk menentukan pulut lepa ini betul-betul masak, ianya perlu dimasak sehingga daun pisang kelihatan kekuningan dan sangat sedap dan berselera makan ketika masih panas. Harga pulut lepa pada waktu sekarang ialah RM0.30 sebatang. 

Makanan ini biasa di jual di pasar-pasar seperti pasar Chabang Tiga, pasar Kedai Payang, pasar malam dan juga gerai-gerai di bahu jalan. Permintaan makanan ini sentiasa meningkat apabila tibanya bulan Ramadhan kerana makanan ini sering dijadikan juadah berbuka puasa dan selalu dihidangkan selepas selesai solat sunat tarawih.

Bagi saya inilah makanan santai saya diwaktu petang jika pulang ke kampung halaman. Boleh dikatakan setiap minggu saya akan merasainya walaupun sekali. Rasa pulut yang lembut dan inti ikan yang masih panas telah memukau hati saya untuk merasainya. 



Nasi Dagang



Nasi dagang amat terkenal di Negeri Terengganu dan Kelantan. Ia biasanya dijadikan hidangan istimewa bagi majlis tertentu atau hidangan di pagi hari raya. Nasi dagang diperbuat daripada campuran beras pulut dan beras biasa. Ia dimakan bersama gulai ikan tongkol atau di Negeri Terengganu dan Kelantan, dipanggil ikan aya.

Perbezaan nasi dagang di Negeri Terengganu dengan Kelantan ialah penyediaannya, iaitu nasi dagang Terengganu berwarna putih manakala bagi Kelantan pula berwarna coklat. Nasi dagang ini tidak sempurna tanpa kuah ikan tongkol serta acar timun dan ianya dihidangkan bersama daun pisang bagi menaikkan aroma daun pisang tersebut sebati dengan nasi.

Saya selalu makan nasi dagang ini ketika sarapan. Cuti semester baru-baru ni, kawan-kawan saya yang tinggal diluar Terengganu sanggup datang ke Terengganu demi untuk merasai sendiri nasi dagang yang (original). Selepas saya cadangkan tempat untuk merasai nasi dagang ini, mereka begitu teruja dan memuji tentang keenakan nasi dagang tersebut yang sangat sesuai digabungkan dengan kuah ikan tongkol yang sedikit manis. Bagi saya harganya berpatutan iaitu RM2.50 sebungkus ataupun sepinggan.






Cara-cara Membuat Nasi Dagang: 
Beras dan beras pulut yang telah direndam selama 6 jam ditoskan dan kemudian dikukus selama 1/2 jam. Angkat dan masukkan santan cair serta digaul rata dan dikukus sekali lagi hingga masak. Angkat dan masukkan santan pekat, alba, bawang merah, halia dan garam secukup rasa. Bahan-bahan ini kemudiannya digaul rata. Nasi Dagang Terengganu sudah siap dimasak dan sedia dimakan. 


Cara-cara Membuat Kuah Nasi Dagang Terengganu: 

Kacau santan hingga mendidih. Kemudian masukkan cili giling, bahan-bahan yang dikisar, rempah dan asam keping. Kemudian, masukkan ikan yang telah dikukus serta cili padi. Biarkan ia mendidih dengan api yang perlahan. Kemudian,masukkan garam,perasa Ajinomoto dan manisan secukup rasa.Biarkan kuah itu menjadi agak pekat. Kemudian, kuah sedia dimakan bersama-sama dengan Nasi Dagang Terengganu.

Nasi dagang memerlukan penetilian sepenuhnya terhadap bahan-bahan yang digunakan kerana kesilapan cara untuk memasak nasi dan membuat kuahnya akan menyebabkan nasi dagang cepat basi dan tidak sedap untuk dimakan. Anda perlu mencubanya sendiri rasa sebenar nasi dagang Terengganu kerana rasanya yang unik dan enak dan sesuai dimakan ketika anda datang besantai di negeri Terengganu ini.



Dodol daun palas Terengganu



Dodol daun palas Terengganu amat digemari ramai oleh masyarakat terutamanya rakyat Terengganu. Di semua pasar seluruh Terengganu terdapat jualan dodol ini. Ianya boleh didapati dalam bungkusan beg plastik dan kebiasaanya dijual RM5.00 untuk 3 pek. 

Saya yang tinggal di Negeri Terengganu pun jarang berjumpa makanan ini kerana pada zaman sekarang pembuatannya semakin hari semakin berkurangan. Namun begitu, rasa kemanisan makanan ini tetap diingati oleh rakyat Terengganu walaupun buat masa sekarang sukar untuk memperolehinya.Saya juga jarang merasai makanan seperti dodol daun palas ini sejak merantau di negeri orang. 

Ianya diperbuat dari adunan tepung beras, santan, manisan atau gula yang dibuat secara tradisional oleh penduduk kampung. Ianya juga mengambil masa 6 atau 8 jam untuk masak secara sempurna. Rasanya sangat manis dan enak sesuai dengan aroma daun palas yang pasti memberi pengalaman baru kepada  masyarakat untuk merasakannya. Berbeza dengan dodol dari Kelantan yang dibungkus dengan saiz yang lebih besar dan keunikan dodol Terengganu dibungkus dalam beg plastik menjadikan ianya sering diingati masyarakat.

Dodol ini sangat terkenal di daerah Marang yang merupakan salah satu daerah di negeri Terengganu. Jika anda datang ke Terengganu,singgahlah sekejap ke pasar Kedai Payang untuk membeli dodol ini.